Cari Apa?

Rabu, 27 Mac 2013

Penduduk kesal tidak lapor kehadiran orang asing lebih awal. #opdaulat #LahadDatu #Pray4Sabah #savepenang


LAHAD DATU: Kerisauan beberapa penduduk Kampung Tanjung Labian dengan kehadiran sekumpulan 'orang asing' yang mendirikan rumah secara haram di pinggir hutan berhampiran nyata berasas.

Tindakan mereka melaporkan kehadiran 'orang asing' itu kepada ketua kampung Mahmud Mallang, 72, pada 27 Februari lalu, bagaimanapun ditempelak sesetengah penduduk yang kononnya tidak mahu berprasangka buruk.
"Lihat apa yang terjadi sekarang. Ternyata apa yang saya dan rakan-rakan risaukan sebelum ini ada asasnya. Keamanan kami dirampas malah ada rakan memberitahu rumah mereka dibakar pengganas militan.

"Kalau dahulu kita semua bersatu hati melaporkan kepada pihak berkuasa, sudah tentu keadaan tidak akan jadi seperti ini," kata Idris Abdul Kahal, 49, dalam nada kesal kepada Bernama, di sini.

Mengimbau kembali kejadian serangan militan pada 1 Mac lalu, Idris yang melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang, berkata mereka dipaksa pengganas supaya segera meninggalkan kampung itu.

"Mereka bercakap dalam bahasa Suluk meminta semua orang kampung lari dengan segera jika tidak mahu diapa-apakan. Saya hanya sempat mengambil dokumen peribadi dan melarikan diri bersama penduduk kampung lain ke dalam ladang kelapa sawit.

"Suara pengganas sangat parau menyebabkan kami takut mendengarnya. Waktu melarikan diri, kami juga tidak tahu ke mana kami hendak lari dan hanya berserah kepada Allah dan lepas empat jam berjalan, kami tiba di Lok Buani," katanya.
Idris yang kini ditempatkan di Dewan Fajar Harapan, sebuah pusat penempatan sementara, berkata ekoran serangan pengganas militan itu, anak keduanya berumur 8 tahun, sering meracau dalam tidur berkemungkinan gangguan emosi.

Katanya, keadaan anaknya kini semakin pulih setelah melalui proses pemulihan yang dianjur Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan dua anaknya yang beradad di tingkatan dua dan lima masih enggan ke sekolah kerana takut.

"Perkara ini sangat menyusahkan dan saya rasa seperti tidak mahu balik lagi ke Tanjung Labian kerana saya takut jika pengganas akan kembali semula," katanya yang menganggarkan mengalami kerugian hasil tanaman sawit, ternakan dan buah-buahan kira-kira RM10,000.

Penduduk Tanjung Labian keseluruhannya 3,500 orang merupakan antara penduduk yang dipindahkan selepas kampung itu diklasifikasi sebagai zon merah dalam Operasi Daulat susulan pencerobohan militan dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, sejak 12 Februari lalu.

Halimah Naukan, 48, pula berkata beliau dimaklumkan rakan bahawa rumahnya yang berdekatan Tanjung Batu dibakar pengganas militan itu.

"Saya amat marah dan kecewa. Mereka (pengganas) ini semua bersifat binatang, langsung tidak memikirkan bagaimana kami mahu hidup semula selepas ini, tiada apa lagi yang tinggal untuk kami.

"Saya dengar haiwan ternakan pun mereka ambil. Mereka langsung tiada belas kasihan dan sepatutnya mereka ini mati. Inilah hukuman yang patut mereka terima," katanya sambil menitiskan air mata.

Tiada ulasan: