Cari Apa?

Ahad, 3 Mac 2013

SELAMAT BERJUANG AYAH!! #WiraMalaysia #Pray4Sabah


Nurul Ain Atirah Zainl, 4, (tengah) bersalaman dengan bapanya, Kpl Zainol Said, 37, (kiri) sambil diperhati oleh ibunya, Zamzilawati Khamis, 35, dan kakaknya, Nurul Ain Najwa, 7, (kanan) ketika menghantar bapa mereka yang ditugaskan ke Sabah bagi menangani krisis pencerobohan....

Selamatkan perjuang kita diperbatasan....Allahuakbar!! - sumber

Bicara Gades: Tersentuh melihat keluarga anggota/pegawai keselamatan kita yang menghantar Ketua Keluarga mereka untuk berjuang demi mempertahankan tanah air Negara Malaysia.. Semoga mereka semua selamat dan dilindungi oleh Yang Maha Esa.. Dan berharap agar episod kekacauan ini akan tamat!! Sama-sama lah rakyat doakan!! Amin~

BILA TUN M BERSUARA!!! #Pray4Sabah

Kerajaan Perlu Ambil Tindakan Keras Terhadap Kumpulan Penceroboh - Tun Mahathir

BAGAN SERAI: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh selepas insiden pertumpahan darah di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Beliau berkata walaupun kerajaan berhati-hati dalam menangani isu itu pada peringkat awal dan berharap ia dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah, malangnya ia tidak dihargai oleh mereka sehingga sanggup membunuh anggota pasukan keselamatan negara.

"Sekarang ini saya fikir tidak ada jalan lain melainkan kerajaan melancarkan serangan balas supaya dapat dihapuskan sama sekali pasukan Sulu ini walaupun dengan (tindakan) ini ramai mereka terbunuh, tapi ini tidak dapat dielakkan kerana mereka yang menyerang Sabah, bukan kita yang menyerang mereka," katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan pada Himpunan Rakyat Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, Ahad.

Katanya tindakan keras yang diambil mungkin akan menyebabkan ramai daripada penceroboh itu mati serta anggota keselamatan negara akan menjadi mangsa.

Pada pendapatnya, insiden yang berlaku itu tidak akan tamat begitu sahaja kerana pihak penceroboh boleh melakukan serangan-serangan hendap pada masa depan.

Kerajaan diharap mengadakan persediaan awal menghadapi serangan berturut-turut pada masa akan datang, terutama keperluan terhadap pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengawal dan menyekat bot-bot yang datang dari kepulauan Tawi-Tawi yang mungkin membawa pasukan penceroboh atau menyeludup senjata, katanya.

"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan walaupun pada mulanya kita ingat percubaan mereka itu untuk menawan Sabah sebagai percubaan yang sia-sia tetapi kita tahu mereka akan menjadi gerila dan akan melancarkan serangan pada masa depan," katanya.

Mengenai ada pihak yang mempertikai tindakan kerajaan yang memberi kuasa kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak terlebih dahulu berbanding pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung pencerobohan tersebut, Dr Mahathir berkata negara mempunyai dua bahagian keselamatan.

"Kita bahagi keselamatan kepada dua bahagian iaitu yang datang dari luar yang biasanya tindakan diambil oleh tentera manakala yang berada di dalam negara adalah tanggungjawab polis. Pada mulanya kita tidak anggap pencerobohan itu sebagai serangan luar kerana mereka ini berada dalam wilayah kita," katanya.

Bagaimanapun, apabila pencerobohan dan serangan kini jelas datang dari luar maka difahamkan pihak tentera diarahkan untuk memgambil bahagian dalam tanggungjawab itu, katanya.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan dilihat 'berlembut' dengan pihak penceroboh terbabit, beliau berkata sememangnya kerajaan tidak mahu mengambil tindakan sehingga membunuh kerana mereka juga mempunyai keluarga dan rakan sebagai warganegara di Sabah.

"Sebab itu kita berhati-hati bertindak begitu pada awalnya, lagipun mereka ini orang Islam, kita orang Islam, kita tidak mahu tergesa-gesa, tetapi mereka tunjukkan niat jahat dengan menembak dua anggota polis kita. Sekarang ini peristiwa ini tidak boleh dianggap boleh diselesaikan dengan rundingan," katanya.

Mengenai laporan media asing bahawa kedatangan penceroboh terbabit ke Lahad Datu adalah atas "jemputan" seorang ahli politik pembangkang, Dr Mahathir berkata ahli politik itu menjanjikan banyak perkara bagi Sabah termasuk memberikan kuasa autonomi jika pembangkang menang pilihan raya. -BERNAMA

Analisis: Pencerobohan Lahad Datu Oleh ‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’

1. Siapakah Yang Menceroboh?

Kumpulan penceroboh yang dikenali sebagai ‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’ (The Royal Sulu Sultanate Army)1 datang dari Selatan Filipina dan dianggarkan terdiri daripada kira-kira 200-400 orang, dengan 20-100 orang daripada mereka bersenjata2. Kumpulan ini diketuai oleh ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram, adik kepada ‘mantan sultan’ Jamalul Kiram III dan ‘sultan’ Ismael Kiram II.3 4 Jamalul Kiram III pernah bertanding untuk jawatan senator dalam pilihanraya Filipina.



2. Adakah Kumpulan Penceroboh Ini Mewakili Kesultanan Sulu?

Tidak.
Ini kerana kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986. Kini terdapat dua pihak utama yang mengaku sebagai Sultan Sulu:
Pertama, Muedzul Lail Tan Kiram, anak kepada Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf kerajaan Filipina, Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram. Beliau dilantik sebagai Raja Muda pada hari penabalan bapa beliau sebagai sultan.
Kedua, Ismael Kiram II, abang kepada ketua penceroboh, ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram.
Majlis penabalan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram sebagai Sultan Sulu pada 1974. Kelihatan sedang berjalan ialah anak beliau, Muedzul Lail Tan Kiram, yang ditabalkan sebagai Raja Muda. Kumpulan penceroboh ialah pengikut Ismael Kiram II, yang tidak pernah ditabalkan sebagai Sultan Sulu yang diiktiraf oleh kerajaan Filipina.


3. Apakah Tujuan Kumpulan Penceroboh?
‘Mantan sultan’ Jamalul Kiram III menyatakan bahawa kumpulan ini ingin menjadikan Sabah sebagai ‘rumah’ mereka:
“Mengapa kami harus meninggalkan rumah kami sendiri? Hakikatnya mereka (rakyat Malaysia) membayar sewa (kepada kami). Pengikut kami akan tinggal di Lahad Datu, Sabah. Tiada siapa akan dihantar pulang ke Filipina. Sabah ialah rumah kami”.2


4. Adakah Filipina Pernah Membuat Tuntutan Terhadap Sabah?
Ya.
Filipina membuat tuntutan terhadap Sabah kerana menganggap Kesultanan Sulu, yang pernah berpusat di Filipina, memiliki hak ke atas Sabah.
Setiausaha Kehakiman, Kementerian Luar dan Pejabat Presiden Filipina kini telah diarahkan untuk melakukan kajian mengenai tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah.5


5. Adakah Malaysia Boleh Membuat Tuntutan Terhadap Wilayah Milik Filipina Sekiranya Kesultanan Sulu Menjadikan Sabah Sebagai Pusat Pentadbiran?

Sabah tidak pernah menjadi pusat Kesultanan Sulu.
Malah, Sabah dianggap kurang penting oleh Kesultanan Sulu sehinggakan ia diserah kepadaBritish North Borneo Company pada 22 Januari 1878.
Pusat Kesultanan Sulu terletak di Maimbung, Jolo.
Istana Sultan di pusat pentadbirannya di Maimbung, Jolo. ‘Kesultanan Sulu’ tidak memiliki apa-apa kuasa politik di Jolo tetapi mahu menuntut kuasa politik di Sabah.


6. Adakah Pihak Di Malaysia Yang Menyokong Tuntutan Kesultanan Sulu Ke Atas Sabah?
Wakil The Manila Times di Mindanao, Al Jacinto, melaporkan bahawa pencerobohan ‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’ berlaku ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua Pakatan Rakyat, mencadangkan agar Sabah diberikan kuasa autonomi.6

The Manila Times melaporkan bahawa pencerobohan ‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’ berlaku ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar Sabah diberikan kuasa autonomi.
ABS-CBN News melaporkan bahawa kumpulan penceroboh tersebut telah dijemput oleh seorang ahli politik pembangkang:
A Philippine military officer interviewed by Reuters also said the men were followers of the heirs of the Sultan of Sulu – an island group off the southern Philippines – who had been invited to Sabah by a Malaysian opposition politician to discuss land issues.7
(Seorang pegawai tentera Filipina yang ditemuramah Reuters juga berkata bahawa kumpulan tersebut merupakan pengikut kepada waris Sultan Sulu – sebuah kepulauan di selatan Filipina – yang diundang ke Sabah oleh seorang ahli politik pembangkang Malaysia untuk membincangkan isu tanah.)
ABS-CBN News melaporkan seorang pegawai tentera Filipina memberitahu Reuters bahawa kumpulan penceroboh telah diundang seorang ahli politik pembangkang.
The Star melaporkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ditanya samada laporan yang mengatakan bahawa pihak pembangkang menjemput kumpulan penceroboh tersebut ke Sabah adalah benar, menjawab:
Who is the one who gave it?8
(Siapa yang beri?)


7. Benarkah Malaysia Membayar Sewa Kepada Filipina Untuk Sabah?
Tidak.
Malaysia membayar ‘cession money‘ sebanyak USD5,000 setiap tahun kepada waris Sultan Sulu.
Cession money‘ ialah bayaran penyerahan, dan bukan bayaran sewa. Selain Sabah, terdapat wilayah-wilayah lain di dunia yang diserahkan (ceded) dengan bayaran, contohnya:
1. Louisiana, diserah oleh Perancis kepada Amerika Syarikat dengan bayaran berjumlah USD15 juta, atau kurang USD0.03 seekar.
2. Alaska, diserah oleh Russia kepada Amerika Syarikat dengan bayaran USD7.2 juta, atau USD0.02 seekar.



8. Apakah Wilayah Yang Menjadi Hak Kesultanan Sulu?

Royal House of Sulu9, laman web rasmi Muedzul Lail Tan Kiram, mendakwa bahawa wilayah-wilayah yang menjadi hak Kesultanan Sulu termasuklah Jolo, Palawan, Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina, selain Sabah dan Pulau Balambangan di Malaysia. Kepulauan Spratly juga didakwa di bawah hak Kesultanan Sulu.
Jolo, Basilan dan Tawi-Tawi sekarang berada di dalam wilayah pentadbiran Filipina yang dinamakan ARMM (Autonomous Region in Muslim Mindanao – Wilayah Autonomi Muslim Mindanao). ARMM dicadang untuk digantikan dengan wilayah autonomi baru yang dikenali sebagai Bangsamoro.


9. Adakah Filipina Mengiktiraf Kesultanan Sulu?
Tidak.
Kali terakhir kerajaan Filipina mengiktiraf Sultan Sulu ialah pada 24 Mei 1974 apabila Presiden Filipina ketika itu, Ferdinand Marcos, mengeluarkan Memorandum Order No. 427 yang menabalkan Mohd. Mahakuttah A. Kiram sebagai sultan.
Sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram, kerajaan Filipina tidak pernah lagi mengiktiraf mana-mana individu sebagai Sultan Sulu.
Memorandum Order No. 427 ialah bukti terakhir kerajaan Filipina mengiktiraf Kesultanan Sulu. Tiada sebarang memorandum dikeluarkan untuk mana-mana individu yang mengaku ‘sultan’ selepas itu. Filipina tidak mengiktiraf Kesultanan Sulu tetapi pernah menuntut wilayah yang kononnya masih menjadi hak Kesultanan Sulu.


10. Adakah Ini Bermakna Filipina Memanipulasi Kesultanan Sulu Untuk Menuntut Sabah?
Filipina dilaporkan pernah memulakan ‘Operation Merdeka‘ pada 1967, satu operasi ketenteraan untuk melatih pasukan komando daripada etnik Tausug dan Sama yang beragama Islam bagi menimbulkan ketidakstabilan dan kacau-bilau di Sabah.
Namun, sebaik sahaja mengetahui matlamat sebenar operasi ini ialah untuk memerangi kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam, pelatih-pelatih etnik Tausug dan Sama ini telah menuntut agar dihantar pulang. Walau bagaimanapun, Pasukan Bersenjata Filipina (AFP – Armed Forces of the Philippines) dikatakan telah menembak mati para pelatih ini. Dilaporkan seramai 11-64 orang telah mati ditembak. Kejadian ini dikenali sebagai Jabidah Massacre (Pembunuhan Jabidah) atauCorregidor Massacre (Pembunuhan Corregidor).
William Larousse10, Michael Leifer11, Andrew T. H. Tan12 dan Alfred W. McCoy13 adalah antara para penulis yang telah melaporkan kejadian ini.


11. Apakah Peluang Filipina Untuk Menuntut Sabah Sekiranya Kes Ini Dibawa Ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)?

Tipis.
Pertama, kerana waris Sultan Sulu telah menerima ‘cession money‘ sehingga ke hari ini. Ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.

Kedua, kerana Kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986.
Geran pajakan yang dijadikan sumber konflik telah ditandatangani oleh Sultan Sulu, Sultan Jamalul A’lam dengan Gustavus Baron de Overbeck serta Alfred Dent, yang mewakili British North Borneo Company, pada 22 Januari 1878.

Ketiga, geran pajakan yang ditandatangani antara British North Borneo Company dan Kesultanan Sulu itu telah diatasi oleh Protokol Madrid 1885.
Sepanyol, yang menguasai wilayah-wilayah Kesultanan Sulu ketika itu, telah menandatangani perjanjian dengan Jerman dan Great Britain pada 7 Mac 1885 untuk melepaskan segala tuntutan terhadap kedaulatan Sabah:
Article 3
The Spanish Government relinquishes as far as regards the British Government, all claim of sovereignty over the territories of the continent of Borneo which belong, or which have belonged in the past, to the Sultan of Sulu (Jolo), including therein the neighboring islands of Balambangan, Banguey and Malawali, as well as all those islands lying within a zone of three marine leagues along the coasts and which form part of the territories administered by the Company styled the ‘British North Borneo Company’.
(Kerajaan Sepanyol melepaskan kepada Kerajaan British, semua tuntutan kedaulatan ke atas wilayah-wilayah benua Borneo yang dimiliki, atau yang telah dimiliki pada masa lampau, oleh Sultan Sulu (Jolo), termasuk pulau-pulau Balambangan, Banguey dan Malawali yang berhampiran, dan semua pulau-pulau yang berada di dalam zon tiga liga marin di sepanjang pesisir pantai dan membentuk sebahagian wilayah yang ditadbir oleh Syarikat yang digelar ‘British North Borneo Company‘.)14

Keempat, Kesultanan Sulu dianggap telah tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915, yang menyerahkan segala kuasa politik beliau kepada Amerika Syarikat.

Kelima, kerajaan Malaysia telah mengambil tanggungjawab untuk membangunkan prasarana bagi kemudahan para penduduk Sabah sejak 1963 tanpa bantahan Kesultanan Sulu mahupun kerajaan Filipina. Ini membuktikan pemilikan dan pentadbiran yang aman secara berterusan oleh kerajaan Malaysia ke atas Sabah. Mengikut dasar effectivites yang diambil kira oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ – International Court of Justice), Malaysia boleh dianugerahkan hak ke atas Sabah, sepertimana yang pernah diberikan kepada kerajaan Malaysia dalam kes Ligitan-Sipadan.

Keenam, laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan pada 1 Ogos 1962 mendapati bahawa 1/3 penduduk Sabah dan Sarawak menyokong kuat pembentukan Malaysia, 1/3 lagi menyokong projek Malaysia dengan syarat hak mereka dilindungi, manakala kumpulan 1/3 yang terakhir terbahagi antara mereka yang mahukan kemerdekaan dan mereka yang mahukan pentadbiran British diteruskan.

Ketujuh, Setiausaha Agung PBB, U Thant, telah melaporkan pada 1963 bahawa penduduk Sabah “ingin menamatkan status kebergantungan mereka dan merealisasikan kemerdekaan mereka melalui penyekutuan yang dipilih secara bebas dengan bangsa lain dalam rantau mereka” (“wish to bring their dependent status to an end and to realize their independence through freely chosen association with other peoples in their region”).15

Kelapan, jika Kesultanan Sulu mendakwa bahawa Sabah adalah milik mereka, maka adalah konsisten bagi Kesultanan Sulu untuk tidak sahaja membuat tuntutan terhadap Sabah semata-mata, malah juga menuntut dan menguasai pusat pentadbiran mereka sendiri di Jolo, selain wilayah Palawan, Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina yang juga mereka dakwa merupakan milik mereka.
Walau bagaimanapun, Kesultanan Sulu tidak memiliki apa-apa kuasa politik terhadap wilayah-wilayah yang terletak di Filipina ini.

Rujukan Lain:
1. “Sulu sultan’s army stakes Sabah claim,” philstar.com, 16 Februari, 2013,http://www.philstar.com/headlines/2013/02/16/909400/sulu-sultans-army-stakes-sabah-claim
2. “Pengikut Sultan Sulu Tidak Akan Tinggalkan Lahad Datu,” mStar Online, 18 Februari, 2013,http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/2/18/mstar_berita/20130218160807&sec=mstar_berita
3. “Salasilah Hubungan Kesultanan Brunei-Suluk,” SMJ-Site,http://www.freewebs.com/julabbi_cairo12/familytree.htm
4. “The true Sultan of Sulu,” http://www.fakesulusultans.com/
5. “Gov’t to assess Sabah claim,” BusinessWorld Online, 21 Februari, 2013,http://www.bworldonline.com/content.php?section=Nation&title=Gov%E2%80%99t-to-assess-Sabah-claim&id=66237
6. “Our Sultan of Sulu and Sabah,” The Manila Times Online, 16 Februari, 2013,http://www.manilatimes.net/index.php/opinion/editorials/41591-our-sultan-of-sulu-and-sabah
7. “‘Royal Sulu Army’ in Malaysia stand-off,” ABS-CBNnews.com, 15 Februari, 2013,http://www.abs-cbnnews.com/nation/02/14/13/royal-sulu-army-malaysia-stand
8. “We did not invite Sulu gunmen, says Anwar,” The Star Online, 22 Februari, 2013,http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2013/2/22/nation/12745258&sec=nation
9. “Sultan of Sulu,” Sultaniyyah Sin Lupah Sug, http://www.royalsultanateofsulu.org/#!sultan-of-sulu
10. William Larousse, A Local Church Living For Dialogue: Muslim-Christian Relations in Mindanao-Sulu (Philippines), Editrice Pontificia Universita Gregoriana, 2001.
11. Michael Leifer, Michael Leifer: selected works on Southeast Asia, Institute of Southeast Asian Studies, 2005.
12. Andrew T. H. Tan, A Handbook of Terrorism and Insurgency in Southeast Asia, Edward Elgar Publishing Limited, 2007.
13. Alfred W. McCoy, Policing America’s Empire: The United States, The Philippines, and the Rise of the Surveillance State, The University of Wisconsin Press, 2009.
14. “Case Concerning Sovereignty Over Pulau Ligitan And Pulau Sipadan,” International Court of Justice, 17 Disember, 2002, http://www.icj-cij.org/docket/files/102/7714.pdf
15. “Case Concerning Sovereignty Over Pulau Ligitan And Pulau Sipadan,” World Court Digest, 23 Oktober, 2001,http://www.mpil.de/ww/en/pub/research/details/publications/institute/wcd.cfm?fuseaction_wcd=aktdat&aktdat=201010200400.cfm

KAMI TIDAK AKAN BERUNDUR DEMI PERTAHANKAN NEGARA @PDRMsia #LahadDatuAttack #LahadDatuStandoff


Presiden Filipina gesa pengikut Sultan Sulu serah diri #lahaddatuattack



Unit Komando berkawal sementara menunggu arahan dalam usaha menumpaskan penceroboh di Kampung Tanduo. - Foto Bernama

MANILA - Presiden Filipina, Banigno Aquino III hari ini menggesa pengikut Sultan Sulu yang masih berkubu di Lahad Datu, Sabah agar menyerah diri tanpa sebarang syarat bagi mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa.

Beliau membuat rayuan itu menerusi satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Kabinet dan pegawai-pegawai keselamatan Filipina di Malacanang - kali kedua selepas insiden menembak di Lahad Datu, pagi semalam.

Dua anggota komando polis Malaysia dan 12 anggota kumpulan penceroboh terbunuh semalam.

"Jika anda ada keluhan, jalan yang anda pilih adalah salah. Langkah adil dan yang perlu dilakukan ialah menyerah diri," kata Aquino dipetik agensi berita Xinhua.

Pagi tadi, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa daripada Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Filipina supaya menyerah diri dan meletakkan senjata serta merta atau berdepan tindakan tegas dan drastik.

Hishammuddin berkata, selepas insiden tembakan semalam yang mengorbankan dua anggota komando polis (VAT 69), kumpulan penceroboh warga Filipina yang bersenjata di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari sini, tidak mempunyai pilihan lain.

"Selepas insiden semalam, mereka (penceroboh) tidak ada pilihan lain sama ada mereka letak senjata dan menyerah diri atau terpaksa berhadapan dengan apa jua tindakan yang pihak berkuasa terpaksa ambil," katanya di Sabah.

Kejadian kira-kira 10 pagi semalam menyaksikan dua anggota komando polis VAT 69 terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata terbabit turut maut.
Ia turut mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula berkata, pada masa ini polis sudah tidak mempunyai pilihan lain, selain menamatkan insiden itu secepat mungkin berikutan tindakan kumpulan penceroboh itu semalam.

"Selepas apa yang berlaku semalam, situasi semasa adalah terkawal. Kumpulan tersebut telah terkepung di Kampung Tanduo oleh pasukan keselamatan yang berada dalam keadaan "kami mengawal keadaan".

"Polis dan pasukan keselamatan mengawal keadaan, dan kumpulan ini terperangkap di Kampung Tanduo. Saya nak beri amaran kepada mereka dalam keadaan semasa kini, elok mereka serah diri. Masa sudah banyak diberi. Perbuatan mereka ini telah tidak memberi pilihan lain kepada saya.

"Saya tidak ada pilihan sekarang selain untuk mengambil tindakan yang ada untuk menangkap mereka. Sekali lagi saya minta mereka letak senjata dan serah diri. Jika tidak saya tidak ada pilihan tetapi akan mengambil tindakan drastik dan tindakan sewajarnya bagi menamatkan keadaan," tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa penceroboh yang menyerah diri kelak tetap akan diambil tindakan berdasarkan undang-undang Malaysia kerana kumpulan berkenaan sudah melakukan kesalahan yang amat serius di negara ini.

Ismail berkata, kehidupan seharian di Lahad Datu berjalan seperti biasa dan tidak ada perintah berkurung diisytiharkan, manakala kawasan operasi polis ialah di kawasan Kampung Tanduo.

Katanya, polis turut mempertingkat langkah keselamatan melalui sekatan-sekatan jalan raya dan keadaan itu akan diteruskan.

Seorang lagi anggota terkorban, pertempuran di Semporna #lahaddatuattack

KUALA LUMPUR - Seorang lagi anggota keselamatan negara terkorban, kali ini dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh di kampung Selamat, Semporna, Sabah iaitu kira-kira 150 kilometer dari Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, Lahad Datu malam tadi.

Menurut sumber polis, pertempuran yang berlaku pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan seorang anggota cedera.

Difahamkan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Lahad Datu dan Tawau telah digegaskan ke sana bagi memberi bantuan.

Difahamkan penceroboh merancang menyerang Balai Polis Lahad Datu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana identiti kedua-dua anggota keselamatan itu belum dikenal pasti.

Kelmarin, dua anggota komando polis VAT 69 terkorban dan tiga lagi anggota pasukan keselamatan negara cedera selepas berlaku insiden tembak-menembak
apabila kumpulan penceroboh itu bertembung dengan pasukan keselamatan negara.

Dilaporkan 12 orang daripada kumpulan penceroboh turut terbunuh.

Dua yang terkorban ialah ASP Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabarudin Daud, 46. - Bernama

Polis Sabah: 2 anggota polis cedera ditembak di Kg Simunul #lahaddatuattack

[DIKEMAS KINI] LAHAD DATU - Dua anggota polis cedera ditembak oleh beberapa individu di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna, Sabah kira-kira 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, satu pasukan anggota polis telah dihantar ke pulau itu ekoran maklumat bahawa beberapa individu berada di kawasan itu dengan memiliki bekalan senjata.

"Buat masa ini kami percaya kejadian ini tiada kaitan dengan situasi di Lahad Datu (yang berlarutan)," kata beliau dipetik Star Online.

Hamza bagaimanapun menafikan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna diserang dan berkata keadaan di Semporna terkawal serta tidak ada perintah berkurung
dilaksanakan.

Menurut Hamza setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung kejadian tembakan itu dan polis masih menyiasat suspek yang bertanggungjawab.

Jarak antara Lahad Datu dan Kg Simunul adalah kira-kira 167km.

Kejadian ini berlaku sehari selepas insiden menembak mengorbankan dua anggota komando polis manakala 12 anggota kumpulan penceroboh dari selatan Filipina maut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan berlaku kejadian tembak-menembak di Kampung Sri Jaya Siminul.

Menurut Ismail di dalam laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia, kejadian itu susulan daripada pemeriksaan pihak polis ke atas sebuah premis di
situ.

"Pemeriksaan tersebut bertujuan mengesahkan penglibatan kejadian pencerobohan di Lahad Datu.

"Pihak polis masih belum dapat mengesahkan jumlah mereka yang terlibat dalam kejadian terbabit. Bagaimanapun jumlah yang terlibat dipercayai tidak melebihi 10 orang," katanya dipetikBernama.

Beliau berkata, dalam kejadian itu beberapa anggota polis dilaporkan tercedera.

Ceroboh Sabah: Masa untuk runding sudah tamat, tegas Najib



YAB Dato' Seri Najib ketika meyambut jenazah anggota komando VAT 69 Polis Diraja Malaysia di Subang hari ini. - Foto Bernama

SUBANG - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, insiden tembakan membabitkan dua anggota komando VAT 69 yang terkorban semalam merupakan jenayah serius dan kerajaan tiada pilihan melainkan mengambil tindakan tegas.

Perdana menteri berkata susulan kejadian itu, kerajaan memutuskan untuk menamatkan sebarang proses rundingan dengan pihak pemberontak terbabit yang telah melakukan jenayah berat.

"Kerajaan mengambil pendirian bahawa masa untuk mempertimbangankan permintaan kumpulan tersebut sudah berakhir.

"... kita hanya ada dua pilihan iaitu sama ada mereka menyerah diri ataupun menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa dan pihak keselamatan," kata beliau kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada wira negara di balai ketibaan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, hari ini.

Anggota yang terkorban ialah Insp Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46.

Insiden tembakan tersebut membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo.

Jenazah kedua-dua anggota itu diterbangkan dari Lapangan Terbang Tawau pada jam 7.55 pagi dengan pesawat Charlie dan selamat tiba kira-kira jam 12.35 tengah hari.

Jenazah Zulkifli akan diterbangkan ke Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu.

Sementara jenazah Koperal Sabarudin pula akan dikebumikan di kampungnya di Sungai Lias, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Kata Najib, Kerajaan Malaysia amat bertegas dalam hal ini kerana jenayah yang dilakukan oleh kumpulan penceroboh itu amat serius.

"Saya telah menelefon Presiden Filipina Benigno Aquino Jr II berhubung pendirian kerajaan Malaysia itu malam tadi, dan beritahu padanya bahawa setelah berlakunya kejadian tembak menembak pagi semalam, kerajaan mengambil pendirian bahawa masa untuk mempertimbangkan apa jua permintaan kumpulan tersebut sudah berakhir.

"Dan mereka hanya ada dua pilihan iaitu sama ada menyerah diri ataupun menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa dan pihak keselamatan," katanya dipetik Bernama.

Bagaimanapun, Najib enggan mengulas mengenai tempoh yang akan diberikan kepada kumpulan penceroboh itu untuk menyerah diri dengan hanya berkata: "perkara itu saya tidak dapat dedahkan atas sebab-sebab taktikal."

GUGURNYA PERWIRA NEGARA!!! #lahaddatuattack





Al-Fatihah... Marilah kita sedekahkan kepada Arwah yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan Negara tercinta. Begitu besar pengorbanan mereka. Sesungguhnya merekalah Wira sejati Negara. Berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir.

Pasukan Keselamatan kita sememangnya cekap dah diakui di serata dunia. Namun kita harus menerima Qada dan Qadar Allah...

Gugurnya wira tanah air kita yang sanggup berjuang untuk ibu pertiwi!