Kerajaan Negeri Pulau Pinang
"flip-flop" Dalam Kenaikan Cukai Taksiran oleh Majlis Perbandaran
Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai
1. Kerajaan Pulau Pinang telah mengumumkan
kenaikan kadar cukai taksiran oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis
Perbandaran Seberang Perai berkuatkuasa mulai 1 Januari 2015. Kenaikan ini
dikatakan akan memberi hasil tambahan sebanyak RM 40 juta kepada kedua-dua PBT.
Alasan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri, antaranya adalah kerana peningkatan
kos mengurus sisa pepejal oleh kedua-dua PBT.
2. Ini bercanggahan dengan laporan Buletin
Mutiara pada 9 Januari 2014, yang melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai
berkata kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengabaikan syor kerajaan Pusat untuk
menaikkan kadar cukai taksiran di Pulau Pinang dengan alasan tidak mahu
membebankan rakyat negeri ini.
3. Saya berpandangan kenaikan kadar cukai
taksiran yang diumumkan oleh kerajaan negeri semalam adalah kerana
ketidakcekapan pengurusan sumber oleh kerajaan negeri. Kedua-dua PBT merekodkan
jumlah tunggakan cukai taksiran yang besar. Mengikut Laporan Ketua Audit Negara
Mengenai Penyata Kewangan MPSP dan MPPP bagi tahun 2013, jumlah tunggakan cukai
pintu yang tidak dikutip oleh MPSP berjumlah RM 21.8 juta manakala bagi MPPP
adalah sebanyak RM54.5 juta.
4. Langkah yang sewajarnya diambil oleh kerajaan
negeri ialah mencari jalan untuk meningkat kecekapan kedua-dua PBT yang gagal
mengutip tunggakan cukai taksiran yang berjumlah RM 76.3 juta. Keputusan
menaikkan cukai taksiran bagaikan memaksa pembayar cukai menampung tunggakan
besar untuk mereka yang tidak membayar. Adakah ini layanan yang adil terhadap
rakyat Pulau Pinang yang membayar cukai taksiran?
5. Kenaikan cukai taksiran bukan sahaja tidak
dapat menyelesaikan masalah tunggakan, malah masalah tersebut dijangka menjadi
lebih teruk lagi ekoran tidak ternampak sebarang usaha yang gigih untuk
menangani punca masalah tunggakan iaitu ketidakcekapan kedua-dua PBT. Rakyat
Pulau Pinang berhak mengetahui kenapa tunggakan sejumlah RM 76.3 juta tersebut
tidak dapat dikutip. Adakah kedua-dua PBT takut untuk mengambil tindakan
terhadap mereka yang enggan membayar cukai taksiran?
6. Saya juga ingin menyarankan supaya Kerajaan
Negeri lebih serius dalam menangani kewujudan ribuan kilang-kilang haram di
kawasan Pulau dan Seberang Perai. Kerajaan negeri perlu melaksanakan
langkah-langkah pemutihan untuk melesenkan kilang-kilang tersebut bagi tujuan
menjana hasil tambahan kepada MPSP dan MPPP tanpa perlu membebankan
rakyat dengan kenaikan cukai.
7. Kerajaan negeri melalui PBT juga telah
menaikkan kadar sewaan gerai Medan Selera dan juga tapak niaga pasar awam
sebanyak 100 peratus atas alasan tidak cukup kewangan untuk menyelenggara dan
mengubahsuai premis -premis berkenaan. Pada masa yang sama kedua-dua PBT
mengumpul jumlah wang yang besar melalui denda dan saman parkir.
Terima kasih.
Kenyataan Media
YB Dato'Jahara Hamid
Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang
25 November 2014