Cari Apa?

Rabu, 17 Julai 2013

MB Kedah tegas isu kalimah Allah



Mukhriz: Kerajaan Kedah Tidak Izin Kalimah Allah Digunakan Bukan Islam

Kerajaan negeri Kedah tidak mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam dalam kitab mereka dan memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap golongan yang menyalahgunakan kalimah suci itu. 

Ketika memberi amaran itu, Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir turut menyifatkan golongan bukan Islam yang mahu menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu sebagai manifestasi tidak baik terhadap umat Islam di samping cuba mengelirukan generasi muda Islam.

"Kita tidak boleh terima alasan mereka kerana di sebalik alasan tersebut tersembunyi matlamat hendak memurtadkan umat Islam," katanya sambil meminta umat Islam memberi mesej jelas kepada pihak luar yang menyokong kalimah Allah dibenar digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 372 guru al-Quran sukarela, bidan kampung dan mudim bagi daerah Kubang Pasu di Masjid Wang Tepus, dekat sini semalam.

Mukhriz menegaskan Allah adalah tuhan umat Islam dan tidak boleh ditukar dengan istilah 'God' iaitu tuhan secara umum dan jauh sekali 'Lord' yang bermaksud 'tuan' dalam bahasa Melayu.

"Sekiranya perkara ini berlaku di Kedah kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka kerana tidak sensitif dengan majoriti orang Melayu beragama Islam," katanya.

Baru-baru ini Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino mengeluarkan kenyataan menyokong kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam, yang mendapat kecaman daripada banyak pihak.

Mukhriz berkata beliau juga mahu umat Islam memberi mesej jelas kepada golongan yang mempersendakan bulan Ramadan kerana perbuatan itu sememangnya disengajakan.

"Dalam negara mengandungi rakyat berbilang kaum dan pegangan agama, kita tidak boleh bermain dengan pegangan agama orang lain kerana ia amat sensitif.

"Mereka (pihak yang mempersendakan Ramadan) kena faham dari mana mereka datang. Siapa yang mendoktrinkan mereka sehingga sanggup memperlekeh agama orang lain, lagi-lagi di negara majoriti rakyatnya adalah Islam.

"Ini tidak biasa dilakukan, kita tak berani nak bermain-main dengan pegangan agama orang lain. Saya tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku," kata Mukhriz berhubung pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang mempersendakan agama Islam dalam bulan Ramadan dalam Facebook mereka.

Pasangan itu tampil memberi keterangan di Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia semalam.

Mukhriz berkata tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran supaya tidak ada lagi orang mengambil kesempatan atas sikap berprasangka baik umat Islam Malaysia selain agar perbuatan seperti ini tidak berulang dan berlarutan.

Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat perkara ini sehingga mengenal pasti pihak yang menyuntik doktrin bertujuan memecahbelahkan perpaduan masyarakat Malaysia- Bernama

Duta Vatican City minta maaf sengaja tersilap



Duta Vatican City Minta Maaf Berhubung Isu Kalimah Allah

Duta Vatican City ke Malaysia Biskop Joseph Marino pada Selasa meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas salah faham dan rasa kurang senang yang timbul susulan kenyataannya mengenai penggunaan kalimah Allah.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata duta itu menjelaskan tidak berniat untuk mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia.

Marino dipanggil ke Wisma Putra pada 12 tengah hari Selasa, kata Anifah dalam kenyataan di sini.

Duta itu dilapor menyokong kempen gereja tempatan untuk menggunakan kalimah 'Allah' sebagai rujukan kepada 'God' dalam kalangan penganut Kristian.

Sokongan terbuka Marino itu menimbulkan rasa kurang senang beberapa pertubuhan Islam yang menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai tidak sensitif serta menyinggung perasaan umat Islam dan rakyat Malaysia.

Pada pertemuan itu, Anifah menjelaskan kepada duta berkenaan bahawa kenyataannya telah menimbulkan kontroversi dan mencetuskan bantahan keras daripada orang ramai.

"Biskop Marino dinasihati supaya peka dengan sensitiviti agama di negara tuan rumah dan isu yang diulasnya itu masih pada peringkat Mahkamah Rayuan.

"Dalam hal ini Biskop Marino diminta berpegang kepada prinsip asas amalan diplomatik dan tidak campur tangan hal ehwal dalaman negara tuan rumah," katanya.

Susulan pertemuan itu kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama lebih rapat bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Holy See selain menggalakkan hubungan lebih akrab dalam kalangan semua agama, kata kenyataan tersebut. - BERNAMA