TAWAU: Kerajaan bersedia mengambil tindakan terhadap apa jua laporan dan resolusi daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang menyiasat kehadiran pendatang asing tanpa izin di Sabah, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Beliau berkata sekiranya terdapat unsur jenayah maka tindakan akan diambil dan jika didapati terdapat sesuatu yang tidak betul ia akan diperbetulkan.
“Ya (kita sedia ambil tindakan). Kita semua mesti ingat, kalau kesalahan jenayah, kita akan ambil tindakan. Kalau ada perkara yang tak betul akan dibetulkan. Itu janji kerajaan. Itu sebab kita ada RCI. Kalau kerajaan tak mahu buat (RCI), tak ada RCI.
“Tetapi kita mesti ingat, apabila kita bercakap tentang pendakwaan jenayah ini, kita kena tengok lagi adakah cukup bukti. Dalam RCI ini apa-apapun orang cakap boleh diterima, tanpa buktipun kita terima. Bukti keterangan khabar angin pun kita terima.
“Tapi untuk kita ke mahkamah, kita kena tengok keterangan yang boleh diterima. Itu kita mesti tengok tetapi itu bukan satu alasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap orang yang telah buat salah. Tak ada. Tetapi kita akan mengambil tindakan tetapi mesti mengikut lunas-lunas undang-undang.
“Jika saya tidak mengikut lunas undang-undang, orang akan kata, oh saya tak adil atau kerajaan tidak adil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan pembukaan Tahun Perundangan 2013 di Mahkamah Tawau di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.
Sehubungan itu, Abdul Gani meminta semua pihak supaya memberi kepercayaan penuh kepada RCI berkenaan yang disifatkannya setakat ini telah melakukan siasatan yang benar-benar mendalam dan menyeluruh dengan semua perkara dikeluarkan.
“Semua orang pun tahu, ramai yang kena tangkap (termasuk) yang ada kad pengenalan pun dikeluarkan (dalam siasatan RCI). Itu menunjukkan ketelusan kerajaan. Satu lagi, kalau dipandang dari segi ini, itu adalah betul-betul janji ditepati kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) berkata dia akan membuat satu RCI yang telus dan dijamin perkara ini akan dibuat dengan cara telus dan baik. Kalau tidak takkanlah semua perkara ini keluar,” katanya.
“Dan saya sangat bangga dan sukacita dengan perkara itu kerana itu yangkita mahu. Sebab apa, kebenaran pasti wujud sepertimana yang ada. Jadi kita tunggu. Lagi satu, jangan kelam kabbut memikirkan perkara itu. Kerajaan tidak akan membuat satu RCI, kalau kerajaan memang salah takkan kerajaan tangkap sampai 98 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri,” katanya.
Menurut Abdul Gani mungkin ada kesilapan telah dilakukan sebelum ini dan kesilapan itulah yang ingin disiasat sama ada dilakukan pegawai-pegawai kerajaan, atau kerajaan sendiri ataupun ada unsur penipuan ataupun rasuah seterusnya diselesaikan yang akhirnya menggembirakan semua pihak.
“Dan kesilapan itu kita mesti dibendung, adalah penting bagi negeri ini (Sabah), ini negeri saya. Kita mesti lakukan sesuatu. Jadi janganlah kelam kabut, kita tunggu dan tengok (lihat), biarlah RCI itu buat kerjanya dengan baik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan