Cari Apa?

Ahad, 3 Mac 2013

Ceroboh Sabah: Masa untuk runding sudah tamat, tegas Najib



YAB Dato' Seri Najib ketika meyambut jenazah anggota komando VAT 69 Polis Diraja Malaysia di Subang hari ini. - Foto Bernama

SUBANG - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, insiden tembakan membabitkan dua anggota komando VAT 69 yang terkorban semalam merupakan jenayah serius dan kerajaan tiada pilihan melainkan mengambil tindakan tegas.

Perdana menteri berkata susulan kejadian itu, kerajaan memutuskan untuk menamatkan sebarang proses rundingan dengan pihak pemberontak terbabit yang telah melakukan jenayah berat.

"Kerajaan mengambil pendirian bahawa masa untuk mempertimbangankan permintaan kumpulan tersebut sudah berakhir.

"... kita hanya ada dua pilihan iaitu sama ada mereka menyerah diri ataupun menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa dan pihak keselamatan," kata beliau kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada wira negara di balai ketibaan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, hari ini.

Anggota yang terkorban ialah Insp Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46.

Insiden tembakan tersebut membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo.

Jenazah kedua-dua anggota itu diterbangkan dari Lapangan Terbang Tawau pada jam 7.55 pagi dengan pesawat Charlie dan selamat tiba kira-kira jam 12.35 tengah hari.

Jenazah Zulkifli akan diterbangkan ke Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu.

Sementara jenazah Koperal Sabarudin pula akan dikebumikan di kampungnya di Sungai Lias, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Kata Najib, Kerajaan Malaysia amat bertegas dalam hal ini kerana jenayah yang dilakukan oleh kumpulan penceroboh itu amat serius.

"Saya telah menelefon Presiden Filipina Benigno Aquino Jr II berhubung pendirian kerajaan Malaysia itu malam tadi, dan beritahu padanya bahawa setelah berlakunya kejadian tembak menembak pagi semalam, kerajaan mengambil pendirian bahawa masa untuk mempertimbangkan apa jua permintaan kumpulan tersebut sudah berakhir.

"Dan mereka hanya ada dua pilihan iaitu sama ada menyerah diri ataupun menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa dan pihak keselamatan," katanya dipetik Bernama.

Bagaimanapun, Najib enggan mengulas mengenai tempoh yang akan diberikan kepada kumpulan penceroboh itu untuk menyerah diri dengan hanya berkata: "perkara itu saya tidak dapat dedahkan atas sebab-sebab taktikal."

Tiada ulasan: