Cari Apa?

Jumaat, 8 Mac 2013

OPS TAYANG DI SEMPORNA, KEMPEN PENERANGAN TAHAP KESELAMATAN TERKINI #opsdaulat #pray4sabah

SEMPORNA, 7 Mac -- Pasukan keselamatan hari ini menjalankan operasi khas ''Ops Tayang'' untuk memberi penerangan kepada masyarakat mengenai tahap kawalan keselamatan yangdijalankan oleh pihak berkuasa di sekitar daerah Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata melalui ''Ops Tayang'', taklimat ringkas akan diberikan kepada penduduk di kawasan pekan dan beberapa kampung di daerah Semporna.

"Operasi ini kita tumpukan di kawasan kampung, pekan dan perairan di daerah ini, ia bertujuan memberikan kefahaman kepada penduduk bahawa kawasan di Semporna adalah selamat dan terkawal," katanya.

Operasi itu disertai oleh polis dari Ibu Pejabat Daerah Semporna, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Am Batalion 14 dan pasukan VAT 69 Bukit Aman, katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu sejak 9 Feb lalu dan sentiasa mendapatkan maklumat dari pihak polis bagi mengelakkan penyebaran khabar angin.

Mohd Firdaus turut menafikan pihaknya mengeluarkan perintah berkurung kepada penduduk tempatan, sebaliknya memberitahu penduduk boleh menjalankan urusan harian seperti biasa.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi Ops Tayang selama sejam setengah mulai 2.30 petang itu memfokuskan beberapa kawasan utama seperti di Kampung Simunul, Kampung Bubul Lama, Kampung Bugaya dan Pekan Semporna.

Rata-rata penduduk melahirkan keyakinan terhadap pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan daerah Semporna dari ancaman pengganas Sulu.

Sabtu lepas, enam anggota polis terkorban dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Simunul, yang turut mengorbankan enam anggota mereka. - BERNAMA

Tiada ulasan: