KUALA LUMPUR 5 Mac – Umat Islam seharusnya menggunakan kemuliaan serta kebijaksaaan dan kewibawaan ulama untuk meningkatkan kemajuan agama dan umatnya ke arah yang lebih baik dan bukannya menggunakan golongan ilmuwan Islam itu untuk mana-mana kepentingan.
Nasihat ini disarankan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Yusof Hussein yang kecewa melihat sikap sesetengah pihak dan individu tertentu yang menggunakan ulama termasuklah ulama luar demi kepentingan mereka.
Menurut beliau mana-mana ulama termasuklah ulama tersohor dunia, Prof. Dr. Yusof Qaradawi akan memberikan penjelasan berdasarkan apa yang diutarakan kepada beliau dan atas dasar itu, tidak seharusnya para ulama dijadikan benteng kepada mana-mana pihak.
“Kepada mana-mana pihak hentikanlah perkara ini termasuklah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti diperkatakan umum sering menggunapakai ulama untuk membersihkan dirinya daripada pelbagai dakwaaan.
“Perkara itu tidak seharusnya berlaku dan ulama perlu disanjung sebagai mereka yang adil dan tidak seharusnya diheret baik sebagai “hakim” atau sebagai “peguambela” atau sebagai “pendakwaraya”.
“Kita seharusnya mengiktiraf mereka dengan sebaik mungkin dan mengambil peranan mereka secara lebih menyeluruh agar Islam dan umatnya serta negara akan terus meningkat maju selaras dengan kehendak Islam,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sesetangah pihak yang menjadikan ulama khususnya ulama luar negara untuk kepentingan masing-masing terutama sebagai alat propaganda politik.
Dr Yusof seterusnya menambah umat Islam perlu sedar bahaya perkara berkenaan kerana ianya dikhuatiri bakal mencetuskan pelbagai pendapat di kalangan umat Islam itu sendiri dan perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku.
Katanya lagi nasihat yang baik daripada ulama perlu diambil kesempatan oleh umat Islam agar apa yang diutarakan itu memberi manfaat kepada semua.
“Namun perlu diingat… umpamanya kita tipu orang ramai kemudiannya kita pula tipu ulama.. Ada juga yang semacam itu.
“Ingatlah…Nasihat ulama kita ambil untuk majukan Islam dan umatnya serta negara dan bukannya untuk manipulasi memperbetulkan sesiapa,” katanya. -MediaUMNO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan