Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendedahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah merancang untuk memporak-perandakan proses pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei depan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan rancangan itu dibuat hasil 'kerjasama' PKR dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Tindak Malaysia dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Beliau mendakwa, PKR telah memberikan latihan terperinci kepada beberapa individu bagi mewujudkan suasana tegang pada hari mengundi di beberapa kawasan terpilih.
"Sesi latihan seumpama ini telah dijalankan di pelbagai tempat dan di negeri tertentu di bawah pentadbiran kerajaan negeri pakatan pembangkang termasuk di beberapa gereja.
"Kekecohan yang dirancang PKR adalah atas alasan rasa tidak puas hati pengundi terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain melengahkan masa membuang undi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah bekas Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Tan Tuan Tat dan Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan.
Tunku Aziz berkata, perasaan benci dan tidak percaya kepada SPR menguruskan pilihan raya secara adil akan terbukti andainya kumpulan itu berjaya memporak-perandakan keadaan pada hari mengundi nanti.
"Semua ini dilakukan bagi memberikan pandangan negatif terhadap SPR, selain mencipta fitnah dan kemarahan umum. Kumpulan ini juga akan sengaja membiarkan diri mereka 'diheret' oleh polis dan gambar-gambar tersebut dijangka tersebar dengan cepat," jelasnya.
Dalam pada itu, Tunku Aziz berkata, pihaknya mencabar semua parti politik yang bertanding pada PRU-13 menandatangani deklarasi bersama pada 13 April ini bahawa mereka tidak akan terbabit dalam sebarang tindakan mengganggu proses pengundian pada hari mengundi nanti.
"Hari ini, kami akan menghantar jemputan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Presiden PKR, Pengerusi DAP dan Presiden Pas atau wakil masing-masing. Saya harap jika benar-benar telus dalam memastikan proses pilihan raya berjalan sebaik mungkin, tampil tandatangan deklarasi ini," katanya.
Satu surat bertarikh 15 Disember 2012 telah tersebar menerusi laman sosial mendedahkan dokumen sulit daripada PKR yang menyenaraikan pelbagai langkah untuk mencetuskan kekecohan dan rasa tidak puas hati terhadap SPR ketika hari mengundi.
Sementara itu, Ramanan membidas sikap Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga yang begitu lantang memburukkan SPR dengan menuduh pilihan raya kali ini adalah yang paling kotor tetapi berdiam diri daripada mengulas 'kesilapan' pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP pada Disember lepas.
"Apa hak beliau untuk berkata demikian apabila parti yang disokong olehnya jauh lebih 'kotor', mengapa sehingga hari ini Ambiga bersama konco-konconya tidak membuat demonstrasi di hadapan ibu pejabat DAP? Ambiga harus tampil halang rancangan PKR ini.
"Perbuatan Ambiga tidak mencerminkan pendirian beliau yang sehingga hari ini begitu vokal 'berjuang' untuk pemilihan adil dan bersih. Ambiga perlu 'bersih' sebelum bersihkan sistem dalam negara ini," tegasnya. - Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan