Cari Apa?

Ahad, 3 Mac 2013

Polis Sabah: 2 anggota polis cedera ditembak di Kg Simunul #lahaddatuattack

[DIKEMAS KINI] LAHAD DATU - Dua anggota polis cedera ditembak oleh beberapa individu di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna, Sabah kira-kira 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, satu pasukan anggota polis telah dihantar ke pulau itu ekoran maklumat bahawa beberapa individu berada di kawasan itu dengan memiliki bekalan senjata.

"Buat masa ini kami percaya kejadian ini tiada kaitan dengan situasi di Lahad Datu (yang berlarutan)," kata beliau dipetik Star Online.

Hamza bagaimanapun menafikan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna diserang dan berkata keadaan di Semporna terkawal serta tidak ada perintah berkurung
dilaksanakan.

Menurut Hamza setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung kejadian tembakan itu dan polis masih menyiasat suspek yang bertanggungjawab.

Jarak antara Lahad Datu dan Kg Simunul adalah kira-kira 167km.

Kejadian ini berlaku sehari selepas insiden menembak mengorbankan dua anggota komando polis manakala 12 anggota kumpulan penceroboh dari selatan Filipina maut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan berlaku kejadian tembak-menembak di Kampung Sri Jaya Siminul.

Menurut Ismail di dalam laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia, kejadian itu susulan daripada pemeriksaan pihak polis ke atas sebuah premis di
situ.

"Pemeriksaan tersebut bertujuan mengesahkan penglibatan kejadian pencerobohan di Lahad Datu.

"Pihak polis masih belum dapat mengesahkan jumlah mereka yang terlibat dalam kejadian terbabit. Bagaimanapun jumlah yang terlibat dipercayai tidak melebihi 10 orang," katanya dipetikBernama.

Beliau berkata, dalam kejadian itu beberapa anggota polis dilaporkan tercedera.

Tiada ulasan: