Cari Apa?

Khamis, 29 November 2012

JANGAN SALAH GUNA HAK DEMOKRASI


Tun Mahathir - Hak Demokrasi Tidak Harus Disalah Guna

Hak demokrasi tidak harus disalah guna untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, sesetengah pihak yang tidak berpuas hati setelah kalah dalam pilihan raya seringkali menyebut hak demokrasi sebagai contoh ketika mereka cuba menjatuhkan kerajaan yang dipi
lih oleh rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.

“Mereka menimbulkan kekacauan di seluruh negara, mereka mengadakan demonstrasi jalanan dan mengadu bahawa kerajaan menipu dalam pilihan raya, oleh itu perlu diadakan satu lagi pilihan raya dan menjatuhkan kerajaan yang telah pun dipilih,” katanya.

Ini boleh membawa kepada keganasan, serangan dan pembunuhan, katanya pada majlis makan tengah hari yang dianjurkannya bagi perwakilan yang menghadiri Forum Antarabangsa Umno bertemakan ‘Konflik dan Perdamaian dalam Politik Rakyat – Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan?’ di sini hari ini.

Dr Mahathir menegaskan ada antara negara yang baru mengamalkan demokrasi tidak menghargai sepenuhnya sistem demokrasi.

“Kita hanya menyukainya apabila kita menang, tetapi tidak apabila kita kalah,” katanya.

Dr Mahathir turut menyentuh tentang kuasa asing yang menyokong perubahan rejim dengan mempergunakan kumpulan minoriti dan memberi mereka wang serta segala bentuk sokongan.

Beliau berkata ini boleh mengakibatkan negara menjadi tidak stabil dan dalam keadaan itu, faedah daripada demokrasi tidak boleh dinikmati oleh rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata: “Dalam demokrasi, anda perlu menerima keputusan pilihan raya. Parti yang memperoleh majoriti mesti diberi hak untuk memerintah negara sekurang-kurangnya bagi keseluruhan penggal. Maka, demokrasi akan berkesan.

“Konflik tetap ada tetapi tidak akan membawa kepada keganasan, kemusnahan dan ancaman keselamatan kepada rakyat,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: